Sunday, November 27, 2011

IA BUKAN HAK MILIK



Kuliah bagi semester baru bermula.. alhamdulillah. Saya masih lagi diberikan nafas oleh-Nya untuk bertemu kembali rakan-rakan sekuliah dan juga para pensyarah (lama dan baru)

Namun, beratnya untuk meninggalkan bilik tidur di rumah..-sebilik sendirian, sarapan pagi dari dapur yang hanya beberapa langkah.. jemput-jemput pisang, nasi goreng..dan akhir-akhir ini ada jemput-jemput sayur panas-panas. Hendak menonton TV? Hanya keluar dari bilik dan TV betul-betul di hadapan bilikku.

Apakan daya, semuanya aturan Allah swt. Hari ini kita mampu makan yang enak-enak, tidur di atas tilam empuk. Esok-lusa entah bernafas entahkan tidak... entah masih ada rezeki entahkan tidak. Oh, semuanya bukan hak milik.


KEINDAHAN UKHWAH
Ketika hari meraikan tahun baru Hijrah, saya sekeluarga menyambutnya di Masjid BBU. Alhamdulillah, ramai sungguh jemaah wanita yang hadir. Jemaah lelaki jangan cakaplah kan. Ruang untuk jemaah wanita terpaksa diperbesarkan.

Beberapa kenalan jemaah yang biasa berjumpa ketika solat malam Jumaat menyapa. Walaupun mereka tua-tua belaka, tapi bukan calang-calang orang hokey!! Para pegawai kerajaan grade A. Ada antara mereka Mak Datin tau! Namun, mereka sungguh merendah diri. Mereka ini adalah antara mereka yang sedar bahawa harta dan pangkat itu bukan hak milik mereka yang harus dimegah-megahkan. Oh, sungguh saya tersentuh.

Tangan bertaut, erat pelukan dan pipi bertemu pipi. Indahnya ukhwah, bagaikan kami telah bertahun kenal. Alhamdulillah. Mereka ini sentiasa berada si saf pertama. Andai Isnin dan Khamis, beramai-ramai mereka berbuka puasa dengan beberapa biji kurma dan beberapa teguk air mineral lalu meneruskan solat. Mereka hanya meninggalkan sejadah usai solat Isyak.


JODOH.. ATURAN ALLAH
Ketika solat maghrib dan Isyak, saya dan mama hanya duduk  berhampiran almari telekung. Harap maklum lah ya.. Kami mahukan doa secara berjemaah. Kami mahu merasai nikmat rahmat yang dilimpahkan oleh Allah dalam himpunan itu..

Tiba-tiba, ketika solat maghrib telah berlangsung.. seorang wanita berinai penuh di jari  masuk tergesa-gesa dan menyapa mama..mesra. Dia segera memakai telekung dan masuk ke dalam saf. Saya hanya memerhati. Lembut tutur bicaranya, sungguh terserlah kecantikan aslinya.

Bekas kawan  sepejabat mama.  Mereka sama-sama secretary, tapi berlainan department.

PUTARAN RODA: Usai doa awal tahun dibacakan, kawan mama kembali menghampiri kami. Aku terdengar dia beritahu mama, dia baru saja bernikah untuk kali kedua pada 11.11.11 tapi jadi isteri kedua. Saya bukan memasang telinga, tapi bicaranya perlahan tapi jelas.

Solat Isyak akan bermula, kawan mama kembali ke tempatnya. Mama tidak pula menyambung cerita dan aku pula tidak bertanya apa-apa. Saya tahu mama berzikir dan saya juga sedemikian.

Ketika dalam perjalan balik, baru mama membuka mulut.

'Kakak, nampak tak.. inilah bukti jodoh itu bukan hak milik. Orang yang dah bernikah pun harus menerima hakikat takdir  mereka telah berpisah, inikan pula yang masih bercinta' 

Saya tidak menjawab, hanya mendengar dari tempat duduk belakang. Saya cuba mengingati hadis ataupun ayat-ayat al-Quran mengenainya.  Mama terus dengan nasihatnya. Sebenarnya panjang lagi. Saya hanya tulis yang perlu saja.

'Kakak ingat ya, jangan pandang serong kalau dengar cerita orang jadi isteri kedua atau ketiga. Jangan anggap mereka perampas. Pertama, kedua atau ketiga semuanya aturan Allah. Macam kawan mama cakap tadi, dia berpisah dengan suami pertamanya kerana dia dimadukan. Kini Allah pula menduganya menjadi yang kedua'

Inilah yang dikatakan madrasah kehidupan. Ini bukan yang pertama, kisah sebegini aku tatap di hadapan mata. Banyak. Hanya berlainan jalan cerita saja.


BAIK UNTUK YANG BAIK: Ada seorang lagi kawan mama, bertemu jodoh  dengan suami baru yang beza usianya berbelas tahun. Suaminya, seorang duda yang mempunyai 4 orang anak dan dia sendiri mempunyai 2 orang anak. Selepas bernikah mereka dianugerahkan seorang anak. Jumlah kesemua anak mereka adalah 7 orang. Demi cintanya pada rumahtangga, dia berhenti kerja.. meninggalkan jawatan selesa  dan gaji 4 angka yang diperolehi setiap bulan. Saya paling kagum dengan sahabat mama yang seorang ini. Cantik, penyayang, bijak dan solehah..~sangat pandai masak!!


KISAH SAHABAT KARIB: Ketika eidul fitri yang baru lalu, kawan ayah yang telah beristeri, menjadi suami kepada sahabat karib isterinya yang telah kematian suami 2-3 tahun lalu. Isteri pertama meminang isteri kedua (sahabat baiknya) untuk suaminya. Lagi hebat kan?

Semuanya seperti tidak masuk akal, andai dilihat dengan mata kasar. Tapi, lihatlah dengan mata hati. Ia telah tertulis di luh mahfuz! Ingatlah..sentiasa sematkan di dalam hati, sesungguhnya semua yang kita milikki di dunia ini bukan hak milik kita...!!

Sama-samalah kita berdoa semoga fasa baru dalam kehidupan kita akan dipermudahkan oleh Allah swt.. semoga, kita semua sentiasa dalam rahmatNya. Ameen ya Allah..



NOTA:
Saya sisipkan di sini kisah dari madarasah kehidupan, buat renungan kita bersama.. ~klik di sini..dan juga di sini

2 comments:

E n t o y C a i r o said...

hanya mampu tersenyum bila mendengar nasihat mama... allahuma fazna.

Humaira' said...

senyum adalah sebaik2 perbuatan.. :)