Usai sarapan, kami menziarahi Pak Uda yang dikatakan sakit tetapi kelihatan tidak sakit. Pelik, namun benar. Hampir 4 bulan dia tak boleh tidur malam ataupun siang. Dia cuba makan pil tidur, tapi tidak berkesan. Selera makan juga tiada. Kesakitan yang dialami sama saja saban malam. Rambut seperti ditarik-tarik dan telinga seperti dipiat-piat. Dalam perut pula seperti ada benda bergerak-gerak.
Kedatangan kami disambutnya dengan airmata. Kali terakhir kami terserempak dengannya, kira-kira 4 bulan lalu semasa makan malam di Restoran Al-Habsyee di BBU. Waktu itu dia kelihatan segar dan memberitahu mungkin dia akan dibedah, kerana doktor suspected dalam perutya ada ketumbuhan. Kemudian, apabila apabila ayah menghubunginya, pembedahan tersebut dibatalkan kerana hasil ujian darah/ urin serta xray tidak kelihatan sebarang ketumbuhan di dalam perutnya.
Melihat kepada keadaannya secara fizikal, dia kelihatan sihat dan segar-bugar. Dia memakai t-shirt coklat kolar bulat dan cargo bermuda. Segak. Ketika sihat, dia antara adik-beradik ayah yang sentiasa menjaga kebersihan dan penampilan dirinya. Saat sakit inipun masih lagi nampak bersih. Namun dari segi percakapan dapat kami rasakan agak merapu. Sesekali dia akan kembali pada dirinya dan suaranya juga seiring dengan melodi percakapannya. Syukur, bibirnya tidak putus-putus menyebut nama Allah, bertasbih dan bertahmid.
Selepas setengah jam kami minta diri untuk pulang. Kami tidak mahu menganggunya yang nampak sangat lemah, tapi memaksa diri untuk gagah demi menghormati kami. Ayah/ mama berjanji kepadanya akan sering menjenguknya.
Hanya fatihah dan doa kami iringkan semoga Allah memeliharanya dan dia tidak lemah dengan hasutan syaitan durjana. Wallahua'alam