Thursday, August 12, 2010

Kasih Ramadhan

Maha suci Allah S.W.T,dengan rahmat dan kasih sayangnya, kita diberi peluang menghirup nafas ramadhan.Kehadirannya ditunggu-tunggu, datangnya penuh rahmat, menziarah hamba-hamba Allah yang benar-benar menerimanya sebagai tetamu agung. Penuh senyuman dan dakapan kasih sayang sebgai tanda ramadhan menyambut kekasih-kekasihnya yang merinduinya.

Ramadhan ertinya "panas terik" atau "terbakar". Dinamakan begitu kerana cuaca pada bulan ini sangat panas di Jazirah Arab, sehinggakan bisa membakar pengalas kaki. Juga dinamakan Ramadhan kerana pahala-pahala orang yang berpuasa akan membakar dosa-dosa yang lalu.

Sesungguhnya Allah S.W.T menghadiahkan kepada kita satu bulan Allah yang cukup istimewa dengan rahmat, berkat dan magfirah. Bulan yang mewajibkan kita untuk berpuasa sebulan. Di sisi Allah S.W.T, bulan ini adalah sebaik-baik bulan,harinya sebaik-baik hari, malamnya sebaik-baik malam, detiknya sebaik-baik detik, kerana tidak terlepas walau sesaat akan pahala, rahmat dan keampunan Allah s.w.t diberi kepada hamba-hambanya.

Terus mengalir segala kebaikan padamu wahai hamba Allah, selagi kamu berzikir, nafasmu adalah tasbih, tidurmu ibadah, doamu dikabulkan, amalan kamu diterima, bertimbun-timbun semaian kebun di syurga jika kamu bersedekah, hatimu disucikan dengan puasamu, tilawahmu berganda-ganda pahala sehuruf dari Al-quran. Pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan iblis digari.

Bukan hanya sekadar puasa menahan lapar dan dahaga, akan tetapi menjaga lidah, tangan, kaki, telinga, hati dari perbuatan keji. Harus diingat kita masih ada nafsu yang boleh menakluk iman. Alangkah beruntungnya bagi mereka yang memanfaatkan serta bermujahadah di bulan ramadhan dengan penuh ketaqwaan.


Rebutlah sebanyak mana kebaikan dan amalan di bulan ini,serta memohon sebanyak mungkin keampunan, kerana janji Allah itu pasti bagi kita, selagi kita bertaqwa padaNYA. Berpuasalah di siang harinya, berbuka pada waktunya,bertarawih di malamnya ditambah pula bertahajud di sepertiga malamnya. Setahun ada 12 bulan, hanya sebulan ini Allah memberi peluang membuka luas segala rahmatNYA dan keampunanNYA dari bulan-bulan yang lain. Ini adalah semata-mata untuk kita umat islam. Sungguh besar kasih sayang Allah pada hambaNYA, meluas kasih ramadhan dengan kehadirannya, tetapi apakah kita tergolong diantara kekasih-kekasih Ramadhan yang sering menangis bermunajat kepada Allah...atau kelak di padang mahsyar kita yang menangis kerana mensia-siakan Ramadhan. Sama-sama kita renungkan. Moga kita tergolong bersama kekasih-kekasih Allah dengan kasih Ramdhan....Ameen Ya Rob.

*Sisipan sejarah keagungan islam pada bulan Ramadhan, antaranya:

NUZUL QURAN - Berlaku pada tanggal 17ramadhan,ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang berkhalwat di Gua Hira', Jabal Nur. Hadir malaikat jibril menurunkan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad sambil memeluk baginda dengan kuat, "Bacalah" kata Jibril, itulah wahyu pertama dalam surah Al-A'laq ayat 1-5.

LAILATUL QADR - Malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam yang mulia bagi mereka yang menghidupkan disegenap malam di bulan Ramadhan. Kerana ianya dirahsiakan waktunya.
Pada malam ini juga, Allah memerintahkan Jibril A.S untuk turun ke bumi, mengetuai para malaikat di bumi, bersama bendera hijau dan dipacakkan di atas Kaabah. Jibril mempunyai 600 sayap, dan setengahnya tidak dibuka selain dari malam Lailatul Qadr.

Para malaikat berkata kepada Jibril: "Adakah Allah menerima doa orang mukmin dari umat Muhammad pada bulan Ramadhan ini?"

Jibril menjawab: "Allah melihat umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepadanya serta diampunkan dosanya kecuali orang yang kekal meminum arak, orang yang menderhaka kepada orang tua, orang yang memutuskan silaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari."

PERANG BADR - Juga berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat, tahun ke-2 hijrah yang ade tercatat dalam surah Al-Anfal. Perang yang memisahkan antara haq dan batil.sejumlah 313 orang tentera islam menentang kafir Quraish dan beroleh kemenangan bersama bantu malaikat.

PEMBUKAAN KOTA MAKKAH - Bertarikh 21 Ramadhan tahun ke-8 hijrah, Nabi Muhammad bersama tentera islam seramai 10,000 orang menyerang kafir quraish Makkah tanpa pengetahuan mereka. Dengan mudah Baginda menawan Makkah serta menghancurkan berhala berhala mereka, lalu Makkah menjadi milik islam.





Bookmark and Share


0 comments: