Tuesday, December 7, 2010

Kem Remaja Taqwa

MENJADI FASI?
Dalam kesibukan menziarahi tok di hospital, saya menerima sebuah amanah fisabillillah -menjadi fasilitator untuk Kem Remaja Takwa anjuran Pejabat Agama Daerah Johor Bahru, sempena cuti sekolah penggal tiga.

Usai solat zohor, saya dihubungi Ustaz Mahadhir -dia terdesak- meminta bantuan saya untuk menjadi fasi kem motivasi untuk anak-anak yang sedang bercuti. Program sempena cuti sekolah yang panjang. Sepatutnya fasi dari UTM yang memikul tanggungjawab tersebut, tapi hanya sebentar tadi mereka menarik diri kerana ada program uni yang tidak dapat di elakkan. Dush!! Saya serba-salah.. antara simpati dan rasa malas. Fisabilillah, ya Najwa!! Bangkit!!

Saya tidak mengatakan ya pada Ustaz Mahadhir, namun tidak pula mengatakan tidak. Tapi hanya menjawab "ustaz, nanti saya cuba hubungi kawan-kawan saya yang mana ada dan boleh" Segera saya hubungi semua rakan-rakan yang mana terlintas di kepala dan yang tersenarai dalam telefon - wah, saya telah mula menjalankan tugas!! (waktu ini saya di hospital sambil menziarah tok) Saya juga menerima panggilan dan menghubungi Ustaz Mahadhir. Kami masing-masing pening, kerana hingga lepas maghrib masih gagal mengumpul fasi seramai 8 orang.

Tiba-tiba, mama teringat anak kawan ayah -sebaya saya- yang tinggal berdekatan rumah kami, hanya berlainan lorong. Dalam perjalan pulang dari hospital kami singgah sebentar kerumah kawan ayah. Alhamdulillah, sesungguhnya, Allah telah memudahkan kerja fisabilillah kami ini. 2 orang anak perempuannya akan membantu. Kami perlukan individu yang mempunyai latar belakang sekolah agama, mahir dengan tajuid Al-Quran. Syukur, ya Allah... sedikit, tapi berkualiti.

Setibanya di rumah, saya menyambung kembali menghubungi rakan-rakan. Ramai yang tidak sanggup untuk terlibat 24 jam dan menginap bersama-sama anak-anak. Saya sendiri pun entah kekuatan dari mana datang untuk setuju terlibat dalam program 3 hari tersebut - hai, tentunya kekuatan yang dihembus oleh DIA yang maha pengasih wahai Najwa. Terima kasih ya Allah. Hanya engkau yang maha mengetahui di atas segala sesuatu.

Hampir pukul 2 pagi, mata saya semakin kelat. Semoga hari esok akan saya lalui dengan penuh kelancaran. Pemudahkanlah kerja kami ya Allah..lembutkan hati anak-anak yang hadir untuk menerima tunjuk ajar kami yang serba kekurangan ini dan jauhkanlah kami dari rasa riak. Ameen, ya Allah.