Friday, December 3, 2010

Tok masuk hospital

3 DISEMBER - JUMAAT
Hari ini hari ulangtahun kelahiran mama. Ayah dan mama sudah membuat perancangan untuk bercuti. Kebetulan pula cuti sekolah panjang - penggal 3. Kami semua sudah bersedia dengan beg baju masing-masing. Tapi ayah terlupa dia telah membuat temu janji dengan pelanggan terlebih awal, jadi dia harus ke pejabat dahulu dan perjalanan kami akan bermula pada sebelah petang atau malam. Bila petang tiba, mama menukar fikiran untuk memulakan perjalanan awal pagi esok.

Rupa-rupanya penangguhan perjalanan mempunyai sebab. Rancangan untuk bercuti telah dibatalkan sebab tok masuk hospital. Nenek talipon mama, tok harus dirujuk ke Hospital Pontian (HP), setelah ke Klinik Keluarga. Pak Usu yang hantar. Sebelum itu nenek talipon Pak Ngah, tapi tidak berjawab. Rupanya, Pak Ngah sedang bermesyuarat. Nenek berjaya menghubungi Pak Usu, jadi Pak Usu yang menghantar tok ke hospital. Pak Ngah menyusul ke hospital kemudian dengan untie Nora.

Prostat (klik disini) tok bengkak semula. Tok harus pula dirujuk ke Johor Bahru pula. Nenek temankan tok menaiki ambulan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Lepas Isyak Pak Usu dan kemudian Pak Ngah pula talipon mama, minta jasa baik ayah untuk tunggu di HSA sementara dia akan terus balik ke Kota Tinggi.

Kira-kira pukul 1145pm kami meninggalkan HSA. Tok tidak mahu sesiapapun menunggunya, walaupun nenek. Pelik sebenarnya. Jika di rumah, selama dia uzur nenek tidak boleh berenggang jauh dan lama dari tok. Kami turutkan sahaja. Nenek lega, -maklum wad lelaki. Kedudukan katil pesakit agak rapat-rapat, bukan seperti yang sebelumnya. Sukar untuk bergerak. Terima kasih, ya Allah.. mendengar rintihan hati nenek. Mama lagi lah lega, tidak sampai hati dia melihat nenek bermalam di hospital.

Kami pulang dengan bermacam rasa di hati.. terkilan, sedih dan lega. Terkilan cuti yang dirancang lama terpaksa dibatalkan. Sedih meninggalkan tok sendirian di hospital -pun kami tahu Allah ada bersamanya! Lega, semuanya berlaku ketika kami masih lagi di Johor Bahru. Andai telah sampai di destinasi percutian, tentunya harus tergesa-gesa pulang.

Kita manusia hanya mampu merancang, Allah jua yang menentukan. Tahniah mama, berkorban kegembiraan untuk tok -insan yang berjasa membesarkannya. Mama kata hadiah paling manis untuk ulang tahunnya yang ke 43 tahun - 'kesabaran dan keimanan'. Alhamdulillah.

0 comments: