Saturday, January 29, 2011

MESIR OH MESIR



Risaunya hati kala menoton di TV mengenai rusuhan yang berlaku di Mesir. Terkenang semua sahabat yang sedang menuntut di sana. Macam-macam yang terbayang di fikiran.

Berapa lama lagikah agaknya rusuhan tersebut akan berlangsung? Makankah mereka semua? Keselamatan sahabat-sahabat perempuan paling saya risau sekali - Kak Uteh, kawan-kawan ex-SMAKJ - Dibah, Enon, Aida, Kak Zailin, Zaireen dan ramai lagi.

Siang tadi salah seorang sahabat memberitahu di facebook talian talipon dan internet telah terputus selama 3 hari, hanya baru sebentar talian internet di rumahnya boleh digunakan. Patutlah semuanya senyap saja.

Di sini saya kongsikan tulisan salah seorang pelajar yang sedang menuntut di Mesir, yang menceritakan antara faktor penyumbang kepada kebangkitan kemarahan rakyat terhadap pemerintah Hosni yang tidak lagi Mubarak.

aminmenulis: Semalam ketika saya pergi ke lapangan terbang antarabangsa Kaherah, di Terminal 3 dalam urusan menghantar 2 orang sahabat pulang ke Malaysia. Saya dipanggil oleh seorang polis bertugas lalu membawa saya ke satu booth polis ditingkat bawah terminal tersebut. Dalam perjalanan sempat saya tunjukkan gambar-gambar yang diambil kepada polis yang membawa saya, dia beliau sendiri mengatakan "Ma fish musykilah" tidak ada apa-apa masalah. Saya berjalan tenang dan menemui pegawai atasan tersebut, lalu bertanya atas alasan apa saya dipanggil. Pegawai tersebut menyatakan, saya mengambil gambar apa yang tidak perlu. Walhal gambar tersebut langsung tidak merbahaya. (tangga, papan tanda, dll) Maka, sebahagian gambar-gambar yang diambil tersebut terpaksa dipadam dan kes tersebut selesai begitu sahaja. Alhamdulillah.

Namun ini menampakkan betapa Mesir sedang berjaga-jaga bagi mengelak sebarang serangan dan cubaan untuk menggulingkan kerajaan. Disetiap pintu masuk lapangan terbang dipasang alat pengesan/pengimbas bagi memastikan tiada pengunjung yang ingin melakukan tindakan luar jangkaan.

Suasana disekitar kawasan Kaherah juga kelihatan ramai polis sedang berjaga dalam memastikan kawalan keselamatan ditahap yang tinggi. Kejatuhan kerajaan Tunusia dilihat begitu mempengaruhi politik dunia hari ini sehingga merebak ke negara-negara jiran termasuklah Yaman, Algeria dan juga Mesir. Apakah kesudahan era kebangkitan rakyat ini kepada dunia dan negara-negara lain? Sama-sama kita saksikan. Apapun, semoga Allah memelihara negara Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan damai. Dan marilah sama-sama mendoakan kestabilan politik di Mesir kerana disinilah lahirnya dan terletaknya "ummu dunia" kerana didalamnya terletak sebuah Universiti tertua dunia, iaitu Universiti Al-Azhar As-Syarif. Semoga semua umat Islam diseluruh dunia dipelihara oleh Allah s.w.t dan dalam masa yang sama bangkit menentang kezaliman dengan cara yang paling baik dan berhikmah.

Sehingga kini dilaporkan 4 orang rakyat Mesir mati dalam kejadian rusuhan bagi meminta Presiden Husni Mubarak mengundurkan diri daripada kerusi presiden setelah 30tahun memerintah. 3orang rakyat biasa dan seorang polis.

Kebangkitan ini bukanlah berpunca daripada isu-isu besar tetapi penindasan atas kenaikan harga barang makanan asasi menyebabkan rakyat bangun untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Kalau dilihat dan dikaji negara-negara ini mempunyai kekayaan harta negara melimpah ruah, seperti minyak, gas asli dan sumber pelancongan yang tinggi. Tetapi kekayaan tersebut hanya dinikmati sebahagian golongan dan tidak sampai kepada rakyat. Maka, setelah begitu lama ditindas, dicetus pula semangat dan kebangkitan yang berlaku di Tunisia, rakyat di negara-negara ini bangkit bagi menyatakan ketidak puasan hati sekaligus mengekalkan momentum kebangkitan yang sedia ada.

Berdasarkan pemerhatian secara rambang, harga bahan mentah meningkat berlipat kali ganda, sehingga santan, gula, minyak, gandum dijual pada harga yang terlalu tinggi. Apakah penyelesaian kepada krisis ini? Langkah kerajaan yang mengamalkan perbelanjaan yang tidak berhemah antara faktor masalah ini tidak dapat diatasi dengan sebaiknya sehingga membebankan rakyat. Sebagai contoh Malaysia mempunyai bilangan rakyat yang sedikit tetapi kekayaan hasil negara melimpah ruah. Maka, timbul satu persoalan dimanakah hasil itu disalurkan? Rakyat bukan tidak mahu pembangunan, tetapi apa yang lebih penting kos sara hidup mereka terjaga dan mampu menanggung isi rumah. Marilah sama-sama kita membawa perubahan dan bangkit memperjuangkan hak kita sebagai wargenegara yang sepatutnya menerima hak yang patut kita terima. Bagaimana caranya? Anda fikirkan sendiri bagaimana..

Selain dari catatan di atas, saya sertakan pautan [di bawah] untuk mengetahui perkembangan pelajar-pelajar Malaysia di sana, dengan lebih dekat lagi. Di kaca TV tentunya tidak di paparkan gambaran sebenar untuk mengurangkan tekanan yang dialami oleh para ibubapa masing-masing.


Saya berdoa semoga semua rakyat serta pelajar Malaysia di Mesir amnya, dan sahabat-sahabat saya khususnya akan sentiasa berada di dalam peliharaan Allah. Kuatkanlah semangat mereka semua ya Allah dalam menghadapi dugaan hebat di perantauan.


P/S - Dato Najib!! Bawalah segera semua sahabat saya di Mesir pulang.

2 comments:

en_me said...

Muger2 negara akan tetap aman damai sejahtera sentosa senantiasa.. aminn ya robbal alaminn

Humaira' said...

en me: ameen, ya Rob