Hari ini telah masuk 3 Syawal. Sungguh cepat waktu berlalu, bererti 3 hari juga Ramadan telah pergi. Aku masih takut-takut untuk menjamah makanan. Seolah masih bertapak di dada Ramadan. Masih juga mahu memegang kitab milikNya, setelah sebulan tidak lekang dari pelukan sepuluh jari-jemariku. Alah biasa tegal dek biasa rupanya. Terima kasih Allah, 'menghantar' ku ke Bukit Mahkota. Tempat yang menjadikan aku lebih dekat denganmu!
Seharian ini aku banyak menghabiskan masa dengan memanjakan diri. Tetamu yang dinanti tidak kunjung tiba. Ayah telah mula bekerja. Mama masih di rumah. Kami bersantai sambil menonton rancangan-rancangan menarik siaran Astro. Adik-adik sibuk dengan aktiviti masing-masing. Syamil sibuk bermain 'game' di handphone dan Danial pula sibuk melukis kartun kegemarannya.
Usia yang meningkat menjadikan kemeriahan Syawal yang ku lalui agak hambar. Sunyi begitu menggamit, tanpa teman untuk diajak bicara. Mindaku begitu bercelaru. Semua ini membangkit rasa rinduku pada Bukit Mahkota dan seluruh penghuninya... Andai aku masih bersekolah di situ tentu aku tidak sesedih ini, kerana aku tahu selama manapun aku bercuti pasti aku akan kembali ke sekolah bertemu mereka semula. Kini semua teman-teman telah membawa haluan dan mempunyai destinasi masing-masing.
Teringat pesan sifuku, walau apa pun yang terjadi, kehidupan harus diteruskan.. usah melayan perasaan hiba.. hanya akan membuat sang syaitan bertepuk kerana berjaya membuat umat Muhammad berhiba.
La tahzan, ya Najwa!!
0 comments:
Post a Comment