Saturday, September 19, 2009

Selamat tinggal Ramadhan.. Selamat datang Syawal!

Alhamdulillah.. akhirnya hari kemenangan tiba, setelah sebulan menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadhan. Firman Allah swt bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan keatas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa" (al-Baqarah: 183)

Ramadhan.. satu-satunya bulan yang di dalamnya memiliki malam terbaik antara seribu bulan. LAILATUL QADAR!! Dari Uqbah, iaitu Ibnu Hariith katanya: Aku mendengar dari Ibnu Umar r.a berkata: Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakhir. Namun jika salah seorang dari kamu tidak mampu, maka jangan sampai terlepas pada hari yang ketujuh terakhir. (Riwayat Muslim)

Biar ketibaan 1 Syawal menandakan hari kemenangan dan kegembiraan, namun melepaskan Ramadhan berlalu pergi bukan sesuatu yang mudah. Airmataku mengalir deras saat alunan takbir bergema dari masjid, surau berhampiran dan juga di kaca tv. Buka terakhir ku tadi, hanya mampu ku jamah sedikit tamar dan tegukan air buat membasah tekak. Kemudian itu aku terus bersolat maghrib. Hilang seleraku untuk menikmati juadah makanan yang beraneka jenis, mengenangkan Ramadhan yang telah tiada. Entah sempat, entahkan tidak Ramadhan hadapan ku jengah.

Ramadhan kali ini, aku menjadi kian matang merasai nikmat berpuasa. Sesungguhnya berpuasa itu bukan setakat menahan lapar dahaga, sebagaimana sering para ustaz dan ustazah sampaikan kala di bangku sekolah. Lakukanlah ia dengan menuh istaqamah dan insaf. Insaflah sesungguhnya masih ramai insan-insan di bumi Allah ini yang tidak dapat menikmati lazatnya makanan sepanjang hayat mereka. Masih ramai juga insan-insan di bumi Allah ini memperolehi makanan umpama kais pagi, makan pagi dan kais petang makan petang.

Melihat kesenangan rezeki yang Allah limpahkan padaku sekeluarga saat ini, menjadikan aku insaf kala mengenangkan kesusahan dan kedukaan yang Tok alami saat masih anak-anak hinggalah dia memperolehi mama. Kesusahannya yang terpaksa menanggung ibunya (moyang perempuanku) dan adik-beradiknya setelah kematian bapanya (moyang lelaki ku) Mereka hidup seperti nomad, berpindah dari satu tempat ke satu tempat menumpang teduh dengan mengambil upah menoreh, membersihkan parit dan juga kebun-kebun yang dipenuhi semak dan samun. Mama sering mengimbau saat-saat dia tinggal di pondok kecil tanpa bilik; bila hujan lebat air melimpah masuk ke dalam rumah dan hanya mampu melihat pinggan-mangkuk terapung di dalam rumah seperti sampan kertas yang di lepaskan di parit kecil oleh anak-anak.

Begitu juga dengan ayah. Tok mak yang terpaksa bangun seawal 4 pagi menyiapkan kuih-muih untuk jualan, bagi menampung perbelanjaan keluarga yang tidak kecukupan. Ayah dan adik-beradiknya akan bergilir menjual kuih-muih sebelum atau selepas pulang dari sekolah. Menongkat dari tangga ke tangga rumah jiran-tetangga.

Berbahagialah mereka yang menjalani ibadah Ramadhan dengan sempurna. Menerangi malam-malam Ramadhan dengan tarawih dan qiamulail; berzikir, bersolat sunat dan membaca Al-Quran. Allah menjanjikan imbuhan yang sangat indah buatmu pada hari pembalasan nanti. Nantikan saja dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. InsyaAllah.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua, maafkan diriku zahir dan batin andai ada kata yang tersilap.. ada tingkah yang tidak sedap di pandang mata. Aku hanyalah manusia biasa yang tidak lepas dari segala kesilapan. Semoga aidil fitri kali ini kita lalui dengan penuh ketenangan dan aman. Amin.

0 comments: