Saturday, January 22, 2011

Jadilah Sahabat Yang Ikhlas




Seringkali mama berpesan dari dahulu hingga kini -meski saya sudah boleh berfikir secara waras- 'hati-hati berkawan. Kalau ada yang tidak kena, mengalah saja. Tidak apa, mengalah bukan bererti kita kalah.' Pesanan mama itu semata-mata untuk tidak mengurangkan kawan yang saya ada dan menjauhkan diri saya dari mempunyai ramai musuh -jangan risau mama, saya ada ramai kawan yang baik-baik dan ceria.

Namun, mama juga berpesan agar saya berkawan dengan siapa saja -kawan baik atau kawan yang kurang baik. Berkawan dengan kawan yang baik tentunya kita tidak akan menghadapi sebarang masalah, jauh sekali fitnah. Cabaran yang sangat besar ialah apabila berkawan dengan kawan-kawan yang kurang baik - kita harus bijak mengawal diri dan mengekalkan jati diri.

Pesan mama, jadilah sahabat yang ikhlas dan baik kepada kawan-kawan kita tanpa membeza-bezakan mereka. Dekati kawan-kawan yang kurang baik tanpa sangsi. Hanya dengan mendekatkan diri bersama mereka maka kita mampu untuk memberi pesan yang baik-baik, agar terbuka pintu hati mereka untuk terus menjadi baik di sisi Allah swt. Doakan mereka selalu -doa yang ikhlas untuk kawan-kawan tanpa pengetahuan mereka akan dimakbulkan Allah. InsyaAllah.

Kukuhkan jati diri dalam menjalin persahabatan dengan kawan-kawan yang kurang baik. Andai jati diri tidak kuat dan hanyut dengan godaan syaitan durjana maka akan menyesal kita di hari pembalasan nanti.

Ianya ada dinyatakan dalam Al-Quran:
“Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si polan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari Al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia.” (Al-Furqan: Ayat 28)

Semasa berada di sekolah agama, ustazah saya pernah memberitahu tentang perumpamaan yang mengumpamakan kawan yang baik itu seperti penjual minyak wangi dan kawan yang jahat itu seperti tukang besi. Hinggalah ke sekolah menengah saya masih lagi diingatkan dengan perumpamaan yang serupa. Saya kongsikan hadith tersebut di sini.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari, bermaksud: “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (Sohih Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa siapa kawan kita adalah gambaran diri kita. Kalian risau? Ayuh kita kembali ke asas. Kita semua tahu antara sifat Allah adalah maha pengasih dan maha penyayang. Kita juga tahu Allah maha mengetahui di atas segala sesuatu biar kita sorokkan di mana sekalipun. Allah mampu membaca segala yang tersirat di hati!! Justeru, berdoalah kepada-NYA. Doa adalah alat penghubung kita -manusia- dengan Allah. Mohon diizinkan kita berkawan dengan kawan yang kurang baik itu dengan hasrat kita mahu 'berpesan-pesan'. Kita tidak mahu kawan kita itu terus hanyut dengan godaan syaitan durjana. Mohon kepada-Nya agar dijadikan persahabatan itu sebagai sebuah persahabatan yang hanya semata-mata kerana-Nya. Mohon kepada-Nya agar dirahmati persahabatan kita itu. Ameen, ya Rob.

Hayatilah firman-Nya ini.. “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: Ayat 13)

Pesanan saya, berkawanlah dengan siapa saja dengan niat kerana Allah. Buruk macamana sekalipun perangai kawan kita, mereka adalah hamba Allah juga -persamaan kita dengan mereka- selain dari kita dan mereka sama-sama dijadikan dari segumpal tanah. Jangan buruk sangka terhadap kawan kita -khususnya kawan baru. Semoga dengan bersangka baik, kita akan dapat yang baik-baik saja dari kawan kita dan dia juga akan nampak yang baik-baik saja dalam diri kita.

Wallahua'alam.






Bookmark and Share


4 comments:

Bob Janggut said...

cerita tentang teman;
saya ada dua jenis teman. si minyak wangi dan si tukang besi.tp teman-teman jenis tukang besi ini lah yg lebih mengambil berat dan berkongsi suka dan duka berbanding si perasan wangi yg bagai enau dlm belukar, melepas pucuk masing-masing.

sayang, si wangi tak paham istilah teman.

izuan said...

nampaknya kena fahami istilah si penjual minyak wangi dan si tukang besi. wangi yang utama adalah di sisi ALLAH juga manusia (hablum minallah wa hablum minannas).

Humaira' said...

HZ: semoga awak dan kawan-kawan awak sentiasa di dalam peliharaan-Nya. Ameen, ya Rob.

Humaira' said...

Cikgu Izuan: well said!!