Thursday, February 10, 2011

Peliharalah Mereka Dan Diriku


Waktu Zohor tadi teringin pula mahu bersolat di Masjid Abu Bakar. Terasa ingin berlapang dada di situ. Panas terik memancar terus ke ubun-ubun dan wajah. Tiada angin yang bertiup. Kering sungguh! Kawasan meletak kereta dipenuhi dengan bas-bas pesiaran pelancong - samada pelancong Jepun ataupun Korea. Sukar untuk mengagak kerana bentuk wajah dan fizikal mereka yang hampir serupa.

Tiba-tiba mata saya terpandang segerombolan muslimah berjubah dan juga segerombolan lelaki yang sebahagian dari mereka berkopiah, berjalan pantas melalui koridor dihadapan balai masjid turun dari salah sebuah bas yang panjang. Hati saya terdetik, inikah pelajar Mesir dari Jeddah yang transit di Changi Airport? Ah, mungkin pelajar-pelajar pengajian Islam dari kolej/ uni tempatan. Biarkanlah.. hati saya berkata lagi.

Langkah di susun menuju ke tangga untuk memasuki masjid. Saya di celahan gerombolan para muslimah di situ, membuka kasut dan meletak ke rak yang tersedia di sisi kiri. Kelihatan masing-masing terpinga-pinga mencari ruang bersolat untuk muslimah. Saya cuba berjalan pantas, mendahului mereka sebagai isyarat saya sedang menuju ke ruang solat muslimah. Jelas, mereka menuruti saya. Ketika mahu meletakkan beg, saya terdengar salah seorang dari mereka tertanya-tanya di mana tempat mengambil wudhu. Barulah saya melihat ke arah mereka, tersenyum dan bersuara "..dibawah" Lantas saya bangun, dan beberapa orang dari mereka menuruti saya ke bawah.

Ketika mahu ke tempat wudhuk, saya ternampak kelibat abang kawan saya ketika di dhaurah bersama gerombolan lelaki yang turun dari bas panjang tadi. Dia memang sedang menuntut di Mesir - sah! memang mereka semua pelajar-pelajar Mesir. Ini lah yang di khabar di Utusan Online. Entah kenapa tiba-tiba sebak memenuhi ruang dada. Mereka selamat sampai!!! Syukur, alhamdulillah..

Ketika di ruangan solat, saya terdengar komunikasi di antara mereka, yang sedang mencongak tempoh perjalanan dari Johor Bahru ini ke Kuala Lumpur. Ada yang menggunakan dialek utara dan Negeri Sembilan juga.

Wajah mereka nampak letih, namun mereka kelihatan teruja. Maklum sudah menghirup udara tanahair sendiri dan semakin hampir untuk menemui keluarga tercinta, khususnya ibubapa masing-masing.

Segala puji bagi Allah, yang memudahkan perjalanan mereka sehingga selamat sampai ke bumi kelahiran, yang memelihara mereka dari ancaman keganasan di perantauan. Allah..Allah..Allah. Aku turut merasai kelegaan yang mereka alami, yang sememangnya jelas terpancar di wajah-wajah manis mereka semua. Alhamdulillah. Permudahkan perjalanan mereka hingga selamat sampai ke rumah masing-masing wahai Allah, Tuhan yang maha mengasihani lagi penyayang. Ameen, ya Allah.




UTUSAN ONLINE [SILA KLIK]
09/02/2011 7:36pm

JEDDAH 9 Feb. – Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan strategi baru untuk membawa pulang pelajar Malaysia yang dibawa keluar dari Mesir iaitu dengan menggunakan penerbangan Saudi Airlines ke Singapura dan Jakarta, kata Setiausahanya, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Semalam, 150 pelajar dibawa keluar dari Jeddah menaiki pesawat Saudi Airlines dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, katanya di sini hari ini.

"MKN menyediakan empat bas untuk membawa mereka balik dari Changi... mana yang duduk Johor diturunkan di Johor dan yang duduk Melaka turun di Melaka. Ini bagi memudahkan dan mencepatkan penghantaran mereka pulang,” katanya.

Beliau berkata, bas-bas yang disediakan oleh MKN itu akan menghantar para pelajar sehingga ke Ipoh.

Mohamed Thajudeen berkata, satu penerbangan Saudi Airlines akan bertolak dari Jeddah pada pukul 9.25 malam ini dan seramai 104 pelajar dijangka dibawa dengan penerbangan ini ke Jakarta.

Mereka dijangka tiba pada pukul 11 pagi esok dan dijadualkan dibawa pulang dengan pesawat AirAsia dari Jakarta yang dijangka bertolak pada pukul 2 petang ke Malaysia.

Beliau berkata, dianggarkan lebih 650 pelajar akan dibawa pulang ke tanah air hari ini dengan sebuah pesawat khas Malaysia Airlines dan sebuah penerbangan komersial Malaysia Airlines.

Selebihnya akan dibawa dengan dua pesawat Saudi Airlines masing-masing ke Changi dan Jakarta. – Bernama



NOTA:

Kala saya menulis saat ini, hujan lebat sedang turun mencurah-curah, bersama dentuman guruh dan pancaran kilat sabung-menyabung.. [takutnya!]


[ اَللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا -Ya Allah, curahkanlah hujan yang bermanfaat. Ameen, ya Rob]

4 comments:

izuan said...

alhamdulillah.
amiin.
insha ALLAH.

E n t o y C a i r o said...

Perasaan cemburu tetiba melanda di hati,namun ku lalikan saja perasaan ini...(seronoknya bila berada di tanah air)..

Hanif Zainal said...

ziarah. Alhamdulillah.

InsyaAllah selamat.

Humaira' said...

cikgu Izuan:
t/kasih, moga Allah merahmatimu. ameen ya Allah.

EC:
tenang2 oGeh!
g mkn biskut tiger, cicah air kopi..

Hanif:
tks ya!
semoga dlm rahmat Allah selalu.
ameen ya Allah.