Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Tuesday, August 14, 2012

RAMADHAN KIAN BERLALU

اللهم اوصلنا الى رمضان كريم اعواما عديدة

Allahumma ausilna ila Ramadan Kareem a' waman 'adidah.

[Ya Allah, sampaikanlah (usia kami) hingga ke Ramadan Kareem tahun-tahun mendatang.]

Sudah 25 Ramadhan..
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi kita menghirup udara Ramadhan. Allahurobbi. Beratnya hati mahu berpisah dengan bulan barakah ini.. Sayu, terlalu sayu.. Entah sampai entahkan tidak dengan Ramadhan hadapan. Ya Allah..!

Usah disia-siakan..
Penuhilah masa yang terluang di hari-hari terakhir ini dengan ibadah. Beristighfarlah di setiap nafas yang dihembus, dari mula celik mata sehingga mata terlelap kembali. Lakukanlah solat taubat sebanyak mungkin. Bacalah Al-Quran... Beriktikaflah di masjid, terutamanya kaum lelaki. Hidupkanlah malam-malam terakhir yang tinggal tidak berapa ini tanpa tersisa.. Allahurobbi, jangan nanti kita menyesal..

Berdoa dan saling mendoakan..
Berdoalah dan doakanlah orang lain jua agar terus istiqamah beribadah meski Ramadhan telah berakhir. Kekalkanlah kebiasaan bangun untuk bersahur ketika Ramadhan ini, untuk berqiamulail di malam-malam yang seterusnya sehingga nyawa terhenti.

Mereka yang tidak lalai..
Sungguh beruntunglah mereka yang tidak mensia-siakan nikmat umur dan nikmat sihat yang dipinjamkan Allah swt.

Wallahua'alam.

Thursday, August 9, 2012

MENCARI LAILATUL QADAR

Firman Allah swt dalam Surah Al-Qadr (97), yang bermaksud:
1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam kemuliaan.

2. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu?

3. Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.

4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Rabbnya untuk mengatur segala urusan.

5. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.

Malam barakah yang lebih baik dari 1000 bulan dan dipenuhi dengan para malaikat, Allahuakbar. Pada malam itu, malaikat yang turun adalah yang tinggi “rankingnya” misalnya Jibrail a.s.

Para malaikat adalah makhluk yang suci yang diutuskan oleh Allah swt. Mereka sentiasa turun setiap malam, khususnya pada malam penghujung Ramadan. Ini sudah banyak dijelaskan dalam hadis-hadis Nabi saw. Namun begitu, jumlah malaikat yang turun pada setiap malam (kala sepertiga malam) tidak seramai malam Lailatul Qadar.

10 MALAM TERAKHIR
“Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (HR: Bukhari dan Muslim)

Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam-malam barakah itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan. Subhanallah!

BERIKTIKAF DI MASJID..
Khususnya para pemilik tulang rusuk! Tengok bola.. segala sukan bagai, boleh kan.

Firman Allah- 24: 36, 37, 38... yang bermaksud:-
(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (36)

(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (37)

(Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung. (38)

TAUBAT NASUHA..
Lakukanlah solat taubat.. beristighfarlah sebanyak-banyaknya.. di setiap jantung yang berdegup, siang dan malam selagi mata belum terlena. DIA sangat dekat dengan kita, DIA maha mendengar.. DIA maha pengampun lagi maha penyayang... Entah-entah ini Ramadhan terakhir buat kita... Allahurobbi.

‘Aisyah RA berkata: Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w, apa pendapat engkau, seandainya aku mengetahui malam yang manakah adalah malam Lailatul Qadar, apa yang patut aku baca pada malam itu? Jawab baginda s.a.w : Bacalah : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Pemaaf Lagi Maha Mulia, Engkau jua Mencintai Kemaafan, ampunilah aku [HR: at-Tirmizi]

Wednesday, August 8, 2012

RAMADHAN KAREEM, 1433H

Dari Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala, nescaya di ampunkan bagi nya dosa-dosa yang telah lalu." (HR: Bukhari dan Muslim)

Menghitung hari...
Kita sudah menghampiri penghujung Ramdhan yang barakah. Faktor usia (bukan tua, ok! Hehe) agaknya menjadikan aku terlalu sebak  tatkala memikirkan Ramadhan yang akan pergi jua.. Allahurobbi.

Apakah ini Ramadhan terakhirku? Bantulah aku untuk istiqamah beribadah, khususnya pada 10 malam terakhir ya Allah. Ampunkanlah semua dosa-dosa kedua ibubapaku, adik-beradik, jiran-tetangga, guru-guru, sahabat-sahabat, saudara-mara dan seluruh muslimin-muslimat di dunia ini, samada yang masih hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Ameen ya Allah.

Oh, manisnya kenangan...
Aku cuba menghimbau kembali ibadahku kala Ramadhan tahun-tahun sudah, berbanding tahun ini. Alhamdulillah...masih dalam lindungan Allah swt.

Tiba-tiba aku jadi rindu pada fenomena membaca Al-Quran ketika di sekolah menengah. Masing-masing sentiasa memegang al-Quran kecil di tangan. Pantang ada masa terluang, pasti masing-masing akan berlumba-lumba membaca al-Quran yang dipegang itu. Kemudian membandingkan jumlah juzuk yang telah dibaca masing-masing. Paling sedikit, masing-masing mampu khatam dua kali setiap kali ramadhan. Itulah, Alah bisa tegal dek biasa..

Malamnya beramai-ramai mendirikan solat tarawih.. bergilir pula menjadi imam. Ada pula rakan-rakan yang menggerakkan untuk bangkit kala sepertiga malam andai tidak terjaga.. Allahurobbi, semuanya terjaga.. Alhamdulillah..

Persekitaran sememangnya faktor paling dominan dalam membentuk sahsiah remaja, khususnya bagi mereka yang berhati rapuh. Terima kasih ya Allah kerana pernah menempatkan aku di tempat itu.. dan juga di sini saat ini.. Janganlah kau palingkan hatiku, setelah kau berikan hidayah ya Allah.. -ameen ya Robb-

Saturday, July 2, 2011

MASA YANG BERLALU

REJAB, SYAABAN, RAMADHAN

Rasullullah menyuruh kita berdoa:



Rejab sudah dipenghujung.. hanya tinggal beberapa jam saja lagi Syaaban pula akan menampakkan wajahnya. Sebak mula bertandang. Entah Rejab ini adalah yang terakhir buatku. Entah sempat entahkan tidak mencium wanginya udara segar Syaaban. Ramadhan pula meski tinggal sebulan saja lagi untuk dijejaki, entah mampu entahkan tidak untuk aku menggapainya.

Hanya Dia yang maha mengetahui. Semoga Dia masih mengizinkan aku menghabiskan waktu-waktu terakhir Rejab, merasai nikmat beramal di bulan Syaaban dan seterusnya Ramadhan.

Andai nafasku terhenti sebelum sempat aku menjengah Syaaban, semoga amalan-amalan sunat yang sempat ku lakukan sepanjang bulan Rejab akan diterimaNYA sebagai bekalan ku pulang ke alam kekal. Ameen, ya Allah.

Firman Allah swt:


Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Zalzalah: 7-8)

Saat ini aku hanya menanti takdirnya untuk aku terus meniti waktu-waktu terakhir Rejab, melihat wajah Syaaban dan juga Ramadhan Al-Mubarak.

Wallahua'alam.






Bookmark and Share

Thursday, August 12, 2010

Kasih Ramadhan

Maha suci Allah S.W.T,dengan rahmat dan kasih sayangnya, kita diberi peluang menghirup nafas ramadhan.Kehadirannya ditunggu-tunggu, datangnya penuh rahmat, menziarah hamba-hamba Allah yang benar-benar menerimanya sebagai tetamu agung. Penuh senyuman dan dakapan kasih sayang sebgai tanda ramadhan menyambut kekasih-kekasihnya yang merinduinya.

Ramadhan ertinya "panas terik" atau "terbakar". Dinamakan begitu kerana cuaca pada bulan ini sangat panas di Jazirah Arab, sehinggakan bisa membakar pengalas kaki. Juga dinamakan Ramadhan kerana pahala-pahala orang yang berpuasa akan membakar dosa-dosa yang lalu.

Sesungguhnya Allah S.W.T menghadiahkan kepada kita satu bulan Allah yang cukup istimewa dengan rahmat, berkat dan magfirah. Bulan yang mewajibkan kita untuk berpuasa sebulan. Di sisi Allah S.W.T, bulan ini adalah sebaik-baik bulan,harinya sebaik-baik hari, malamnya sebaik-baik malam, detiknya sebaik-baik detik, kerana tidak terlepas walau sesaat akan pahala, rahmat dan keampunan Allah s.w.t diberi kepada hamba-hambanya.

Terus mengalir segala kebaikan padamu wahai hamba Allah, selagi kamu berzikir, nafasmu adalah tasbih, tidurmu ibadah, doamu dikabulkan, amalan kamu diterima, bertimbun-timbun semaian kebun di syurga jika kamu bersedekah, hatimu disucikan dengan puasamu, tilawahmu berganda-ganda pahala sehuruf dari Al-quran. Pintu-pintu surga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan iblis digari.

Bukan hanya sekadar puasa menahan lapar dan dahaga, akan tetapi menjaga lidah, tangan, kaki, telinga, hati dari perbuatan keji. Harus diingat kita masih ada nafsu yang boleh menakluk iman. Alangkah beruntungnya bagi mereka yang memanfaatkan serta bermujahadah di bulan ramadhan dengan penuh ketaqwaan.


Rebutlah sebanyak mana kebaikan dan amalan di bulan ini,serta memohon sebanyak mungkin keampunan, kerana janji Allah itu pasti bagi kita, selagi kita bertaqwa padaNYA. Berpuasalah di siang harinya, berbuka pada waktunya,bertarawih di malamnya ditambah pula bertahajud di sepertiga malamnya. Setahun ada 12 bulan, hanya sebulan ini Allah memberi peluang membuka luas segala rahmatNYA dan keampunanNYA dari bulan-bulan yang lain. Ini adalah semata-mata untuk kita umat islam. Sungguh besar kasih sayang Allah pada hambaNYA, meluas kasih ramadhan dengan kehadirannya, tetapi apakah kita tergolong diantara kekasih-kekasih Ramadhan yang sering menangis bermunajat kepada Allah...atau kelak di padang mahsyar kita yang menangis kerana mensia-siakan Ramadhan. Sama-sama kita renungkan. Moga kita tergolong bersama kekasih-kekasih Allah dengan kasih Ramdhan....Ameen Ya Rob.

*Sisipan sejarah keagungan islam pada bulan Ramadhan, antaranya:

NUZUL QURAN - Berlaku pada tanggal 17ramadhan,ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang berkhalwat di Gua Hira', Jabal Nur. Hadir malaikat jibril menurunkan wahyu pertama kepada Nabi Muhammad sambil memeluk baginda dengan kuat, "Bacalah" kata Jibril, itulah wahyu pertama dalam surah Al-A'laq ayat 1-5.

LAILATUL QADR - Malam yang lebih baik dari seribu bulan, malam yang mulia bagi mereka yang menghidupkan disegenap malam di bulan Ramadhan. Kerana ianya dirahsiakan waktunya.
Pada malam ini juga, Allah memerintahkan Jibril A.S untuk turun ke bumi, mengetuai para malaikat di bumi, bersama bendera hijau dan dipacakkan di atas Kaabah. Jibril mempunyai 600 sayap, dan setengahnya tidak dibuka selain dari malam Lailatul Qadr.

Para malaikat berkata kepada Jibril: "Adakah Allah menerima doa orang mukmin dari umat Muhammad pada bulan Ramadhan ini?"

Jibril menjawab: "Allah melihat umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepadanya serta diampunkan dosanya kecuali orang yang kekal meminum arak, orang yang menderhaka kepada orang tua, orang yang memutuskan silaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari."

PERANG BADR - Juga berlaku pada 17 Ramadhan hari Jumaat, tahun ke-2 hijrah yang ade tercatat dalam surah Al-Anfal. Perang yang memisahkan antara haq dan batil.sejumlah 313 orang tentera islam menentang kafir Quraish dan beroleh kemenangan bersama bantu malaikat.

PEMBUKAAN KOTA MAKKAH - Bertarikh 21 Ramadhan tahun ke-8 hijrah, Nabi Muhammad bersama tentera islam seramai 10,000 orang menyerang kafir quraish Makkah tanpa pengetahuan mereka. Dengan mudah Baginda menawan Makkah serta menghancurkan berhala berhala mereka, lalu Makkah menjadi milik islam.





Bookmark and Share


Sunday, August 23, 2009

Ukhwah fillah di Awal Ramadhan

PRELUDE:
Hari pertama Ramadhan berlalu dengan penuh indah dan tenang. Ia menjadi lebih indah dan sungguh bererti bila permulaan Ramadhan ini, kami berbuka beramai-ramai di kampung bersama nenek dan Tok, juga Pak Ngah sekeluarga. Tentunya menjadi lebih manis bila para sahabat turut menitipkan salam Ramadhan dan saling mengeratkan ukhwah yang telah terjalin bersama restu ayah-bonda.

CATATAN PERJALANAN HARI PERTAMA:
Cuaca terang hingga ke petang, namun panas mentari tidaklah terik memancar. Sekadar cukup untuk mengeringkan kain-baju di ampaian. Adik yang masih dalam proses belajar puasa, tidak banyak kerenah. Nampak tenang memahami bahawa puasa itu wajib bagi semua orang. Keadaan cuaca yang tidak terik banyak membantu dirinya.

Usai solat Asar, kami keluar untuk membeli juadah berbuka di Uptown; sebelum itu ke kedai kain di Taman U membeli kain hitam untuk dibuat niqab. Musim H1N1, pihak pentadbiran Kolej mengkehendaki semua pelajar memakai topeng mulut. Kebanyakan pelajar perempuan mengambil keputusan untuk memakai niqab, kerana senang untuk di basuh. Jika memakai topeng mulut, kami harus menggantikannya setiap hari. Tentunya menganggu kewangan kami, walaupun hanya berharga RM2.30 untuk 2 keping topeng tersebut yang dijual di farmasi.

Berbalik kepada kisah membeli juadah. Sebelum ke Uptown, kami ke Bazar Ramadhan di Taman U. Mama membeli kuih tako dan adik membeli burung puyuh goreng. Kemudian Ke Uptown pula. Di situ, Mama membeli ikan pari bakar. Aku membeli sayur air campur (kentang+cendawan+su'un) dan puding. Adik pula membeli "Burger Mat Salai", produk + brand baru di pasaran. Nampak menarik. Baby nak ayam percik, tapi malang tidak dijual di situ.

Saat perut mula menunjukkan emosi lapar, hujan lebat turun menyejukkan suasana dan mententeramkan perasaan. Waktu untuk berbuka tinggal lagi 1 jam. Waktu itu kami dalam perjalanan ke rumah nenek. Cadang nak cari juadah lain di Bazar berdekatan rumah nenek, tapi hujan lebat membantutkan rancangan kami.

Nenek pula telah menyediakan beberapa juadah ringkas. Ikan goreng, telur kukus, sayur kacang panjang masak lemak dan sambal sotong.

10 minit nak masuk waktu berbuka, Pak Ngah sampai, dengan 1 tupperware besar mi goreng serta air tebu. Ada juga bangkit santan kegemaran mama. Menarik! Kedatangannya menjadikan suasana meriah. Biasalah dia, tak kutuk aku tak sah... semuanya lambang kemesraan kami yang sentiasa utuh. Biar jauh di mata, namun dekat di hati. Untie Noriah, nampak lain.. - pakai spek mata rupanya. Tentunya kesan selalu menjahit. Teringat cerita ustaz/ ustazah kala menuntut di Bukit Mahkota; usia hampir ke-40, sedikit nikmat Allah ambil. Aku di usia 40? Entah macamana agaknya; itupun kalau di panjangkan usia olehNYA.

Usai Solat tarawih, kami pulang. Tenang dan bahagia tersulam di hati atas jalinan ukhwah yang tersimpul erat. Panjang umur, jumpa jumpa lagi.

Saturday, August 22, 2009

SALAM RAMADHAN


SALAM RAMADHAN:
Salam Ramadhan buat semua... -semoga Ramadhan kali ini, akan lebih bermakna buat kita di sisi Allah swt... semoga kita menjalani ibadah puasa kali ini dengan penuh tawadhu'. Memenuhi ruang-ruang kosong dengan sebaiknya. InsyaAllah.

Sudah bertarawikh kembali kita malam ini. Serasa baru saja aku mengekori mama di bazar Ramadhan mencari juadah kegemaran. Rupa-rupanya sudah setahun Ramadhan yang lepas, berlalu.

BUKIT MAHKOTA DALAM KENANGAN:
MALAM NOSTALGIA-Setiap kali Ramadhan bertamu, kenangan indah saat menuntut di Bukit Mahkota pasti terpancar satu-persatu di tubir mata. Malam-malam kami yang di penuhi dengan tadarus, selain solat tarawikh berjamaah. Setiap kali masuk waktu sahur, berduyun-duyun semuanya ke dewan makan. Dingin pagi yang menggigit bagai masih terasa-rasa saat ini. Pun ada kalanya, kami tidak turut serta bersahur di dewan makan, cukup dengan seteguk-dua air mineral di sisi katil dan mengunyah tamar atau biskut kering. Asal saja perut kami terisi sesuai dengan pesanan Al-Amin..."...bersahurlah walau hanya dengan sebiji tamar..." wallahua'alam.

BERBUKA - Saat berbuka tentunya saat yang sentiasa dinanti-nantikan. Berpuasa beramai-ramai di dewan makan bagai sebuah keluarga besar. Setiap kali hujung minggu tentunya lebih meriah juadah berbuka puasa kami. Pelbagai juadah kegemaran boleh kami beli dari bazar Ramadhan di pusat bandar. Semuanya memuaskan hati. Paling manis bila ada di antara kami yang mendapat makanan percuma dari pengirim misteri dan juga pengirim yang dikenal-pasti... -aku juga tidak terkecuali...upppss!!! Selalunya kami akan berkongsi segala makanan yang kami ada. Tiada seorang pun yang berani menyorok makanan percuma tersebut. Kalau kena "ayat", semua akan kena... errkk... -hahaha...

Tanpa ku sedari, telah hampir 2 tahun Bukit Mahkota kutinggalkan. Namun semua kenangan masih segar dalam kenanganku, sesegar daun pokok di sekitar aspuri yang basah disirami embun pagi nan dingin.



p/s.. JOM KHATAM QURAN, MINGGU AKHIR PUASA..!!





Wednesday, October 1, 2008

Ramadhan yang pergi..

Allahuakbar..Alahhuakbar..walillahilham..

Usai memunaikan Solat maghrib, jelas kedengaran suara muazzin mengalunkan takbir dari surau berhampiran, menandakan aidilfitri telah tiba. Letupan mercun, meriam dan pekik sorak anak-anak jiran mula kedengaran. Wangi masakan dari rumah tetangga, tambah memeriahkan lagi suasana. Aku masih bersimpuh di hujung kamar. Syahdu dan sendu silih berganti menyelubungi rasa. Terlalu berat rasanya hati ini melepaskan Ramadan pergi. Entah sempat entah tidak untuk melihat Ramadan hadapan. Air yang bergenang di tasik mata, perlahan-lahan melimpah keluar tanpa dapat ku bendung. Pun aku pasrah dan redha jika sudah ketentuan Allah andai Ramadhan hadapan tidak dapat ku tatap lagi. Dia maha menentukan segala-galanya. Hanya Dia yang berhak. Tiada yang lain. Ku capai kitabNya dan ku baca ayat-ayatNya... Sendu dan pilu pergi menghormati ayat-ayat suci yang terhimpun di lidah dan hati..

Sesungguhnya, aku redha atas pemergian mu Ramadhan..

Saturday, September 20, 2008

Mencari Lailatul Qadar


SESUNGGUHNYA Kami menurunkannya (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar itu?
Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-Qadr:1-5)

Bergetar dadaku ini setiap kali menatap maksud ayat tersebut. Aduhai.. mampukah aku mengecapi malam-malam rahsia milik Allah ini? Berpeluangkah aku menjadi sebahagian dari hamba-Nya yang terpilih? Ah, terasa kerdilnya diri ku ini sebagai hamba. Terasa terlalu banyak sifat curang yang telah kulakukan terhadap-Nya.

Ampunkanlah aku, Ya Rabbi.. Kau ampunkanlah segala dosa-dosaku yang tidak terkata banyaknya ini.. yang besar dan yang kecil, yang sengaja dan tidak sengaja, yang dahulu dan yang kini.. Izinkanlah aku bermunajat di dada malam-malam rahsia mu ini.. Permudahkanlah segalanya kekasih-Ku..

Amin Ya Rabbal ‘alamin..

Friday, September 19, 2008

Aku bahagia di sini


Alhamdulillah… Ramadhan memasuki hari ke 19. Aku masih lagi mampu merasai empuknya tilam yang mengulik lena ku seperti malam-malam sebelumnya. Aku bersyukur pada-Nya, kerana masih lagi dipinjamkan nafas oleh-Nya untuk merasai nikmat sepertiga malam ini. Aku masih lagi diberi peluang untuk sujud pada-Nya..merayu, merintih, merendah kan tubuh, memohon diampunkan diri ini yang sentiasa dilumuri dosa.. yang besar dan yang kecil, yang sengaja ataupun yang tidak sengaja, yang nyata ataupun yang tidak nyata.. Pun jua, aku masih lagi diizinkan oleh-Nya untuk menatap kitab milikNya..menjelajah dari satu ayat ke satu ayat-Nya yang lain.. membina ketenangan hati dan nurani.

Subhanallah..Maha suci Allah, Alhamdulillah..segala puji bagi Allah, Allahu akbar..Allah maha besar. Segala puji bagi-Mu, Ya Allah yang menjadikan alam ini.. Sesungguh-Nya Malaikat dan Rasul mu itu adalah benar… hari kiamat itu adalah pasti. Semoga dipermudahkan segala urusan dunia dan akhirat ku.. Aku pasrah, dan redha diatas segala ketentuan-Mu, Ya Allah. Semoga Dia juga merahmati kedua ibubapaku, guru-guruku, kaum keluargaku, dan semua rakan-rakanku.

Yang pasti, aku bahagia di sini.. aku menjadi lebih tenang dengan begini, tanpa apa-apa..

Wallahu a’alam.